Berpuasa Semasa Hamil


Adakah selamat untuk saya berpuasa semasa hamil?

Tiada jawapan yang pasti mengenai perkara ini. Walaupun beberapa kajian telah dibuat, kami masih tidak pasti jika berpuasa adalah selamat untuk anda dan bayi anda. 

Walau bagaimanapun, berpuasa semasa hamil nampaknya selamat untuk anda dan bayi jika anda rasa cukup sihat, dan kehamilan sedang berlangsung tanpa masalah.

Kebanyakan pakar-pakar agama berpendapat yang wanita hamil patut berpuasa jika kesihatan mereka mengizinkan. Mereka juga membenarkan wanita hamil untuk tidak berpuasa sekiranya bakal ibu rasa tidak sihat. Ramai bakal ibu wajib menggantikan puasa (qada’) tersebut setelah bayi dilahirkan. 

Bincang dengan doktor anda, dan minta pendapat guru agama atau mereka yang arif dengan hukum Islam untuk membantu anda membuat keputusan yang betul.

Apakah yang ditunjukkan oleh kajian-kajian mengenai puasa semasa hamil?

Ada kajian yang menunjukkan tiada atau sedikit sahaja kesan pada bayi baru lahir apabila ibu mereka berpuasa semasa hamil. Ada juga kajian yang mecadangkan bayi mungkin boleh menghadapi masalah kesihatan di kemudian hari, atau puasa semasa hamil mungkin menjejaskan kepintaran atau keupayaan akademik anak.

Berikut adalah pengetahuan kami dari kajian-kajian yang telah dilakukan:
  • Skor Apgar bayi wanita yang berpuasa semasa hamil adalah tidak berbeza dari bayi wanita yang tidak berpuasa.
  • Puasa semasa hamil mungkin boleh menyebabkan menpunyai berat lahir yang rendah, terutama jika puasa itu berlaku pada trimester pertama. Walau bagaimanapun, ada juga kajian lain yang menunjukkan perbezaan dalam berat badan itu adalah sangat kecil.
  • Bayi-bayi ibu yang puasa semasa hamil atau pada masa konsepsi mungkin membesar untuk menjadi sedikit lebih pendek atau lebih kurus. Sekali lagi, perbezaaan ini adalah sangat kecil.
  • Imbangan kimia dalam darah berubah bila anda berpuasa. Namun perubahan-perubahan tersebut nampaknya tidak membahayakan ibu dan bayi. 

Memang ada kebimbangan mengenai pertumbuhan bayi dalam kandungan semasa ibunya berpuasa, atau puasa itu dikaitkan dengan pelahiran pramatang. Ada kajian yang mencadangkan bayi akan dilahirkan awal sedikit jika ibunya berpuasa dalam bulan Ramadan, tetapi negara yang anda tinggal juga memainkan peranan.

Bagaimanakah saya boleh menangani puasa?

Wanita yang mempunyai berat badan dan cara hidup yang sihat akan menghadapi puasa dengan lebih baik. Bayi memerlukan nutrien daripada anda, dan jika badan anda mempunyai simpanan tenaga yang cukup, kesan puasa pada bayi anda mungkin berkurang.

Bagaimana badan anda menghadapi puasa juga bergantung kepada:
  • peringkat kehamilan;
  • kesihatan am anda sebelum hamil;
  • berapa lama anda berpuasa dalam sehari.

Bagaimana dengan wanita-wanita lain?

Menurut sesetengah kajian, tiga perempat wanita-wanita Islam yang hamil di seluruh dunia memilih untuk berpuasa di bulan Ramadan. Tetapi setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi puasa. 

Kebanyakan pemimpin Islam berkata yang wanita hamil patut berpuasa jika kesihatan mereka mengizinkan. Mereka juga membenarkan wanita hamil untuk tidak berpuasa sekiranya bakal ibu rasa tidak sihat. Jangan abaikan kebenaran khas ini jika anda rasa kurang sihat, atau anda takut puasa akan memudaratkan anda atau bayi anda.

Hanya anda boleh menilaikan bagaimana sihat anda rasa, dan apa keputusan yang tepat bagi anda. Bincanglah dengan keluarga anda, bidan atau doktor, dan ustaz atau ustazah, untuk membantu anda menimbangkan pilihan anda.

Bagaimanakah saya boleh bersedia untuk berpuasa?

Perancangan yang baik akan memudahkan anda berpuasa.
  • Bincanglah dengan doktor anda, yang boleh memeriksa kesihatan anda dan bagi apa-apa komplikasi yang mungkin anda terdedah kepada kerana puasa, seperti kencing manis semasa hamil (diabetis gestasi) dan anemia. Anda mungkin perlu diperiksa dengan lebih kerap untuk memantau tahap gula dalam darah anda. Puasa tidak selamat jika anda mempunyai kencing manis dan hamil.
  • Jika anda biasa minum banyak minuman berkafein seperti kopi, teh dan cola, kurangkan jumlah yang diminum sebelum mula berpuasa untuk mencegah sakit kepala akibat "withdrawal". Anda tidak harus minum lebih daripada 200mg minuman berkafein dalam sehari semasa hamil, iaitu kira-kira dua cawan kopi segera. Ingat bahawa coklat dan teh hijau juga mengandungi kafein.
  • Berbincanglah dengan majikan anda mengenai tugasan anda semasa Ramadan, samada mengurangkan waktu kerja anda atau memberikan anda lebih masa untuk rehat semasa waktu bekerja.
  • Doktor, bidan atau pakar diet anda boleh menolong anda memantau keperluan diet anda.
  • Simpan dairi makanan, supaya anda tahu apa yang anda makan dan minum.
  • Persediaan awal seperti membereskan urusan beli-belah dan tugasan tertentu boleh dilakukan sebelum berpuasa.

Apakah tanda-tanda bahaya yang perlu saya ketahui?

Hubungi doktor anda secepat mungkin jika:
  • Berat badan anda tidak bertambah atau berat badan anda berkurangan. Anda mungkin akan ditimbang apabila menghadiri temujanji pranatal anda, tetapi anda mungkin juga ingin mengesan berat badan dengan menimbang diri sendiri di rumah.
  • Anda berasa sangat dahaga atau air kencing anda berwarna gelap dan berbau kuat. Ini adalah tanda-tanda penyahhidratan, yang boleh menyebabkan anda lebih terdedah kepada jangkitan saluran kencing atau jangkitan lain.
  • Anda pening kepala atau rasa sakit, atau demam.
  • Anda loya atau mula muntah.


Juga hubungi doktor dengan serta-merta jika:
  • Terdapat perubahan ketara pada pergerakan bayi anda seperti jika bayi anda tidak bergerak atau kurang menendang.
  • Anda mengalami kesakitan seakan-akan sakin bersalin. Ini mungkin tanda kelahiran pramatang dan anda perlu hubungi doktor anda dengan segera.
  • Anda rasa pening, pitam, lemah, keliru atau letih, walaupun anda telah berehat yang baik. Buka puasa dengan segera dan minum air yang mengandungi garam dan gula, atau satu jenis ubat rehidrasi oral seperti Dioralyte, dan hubungi doktor.

Bagaimana cara untuk memudahkan saya berpuasa semasa hamil?

  • Sentiasa bertenang dan elakkan stres. Perubahan dalam rutin anda, kekurangan makanan dan air, dan makan dan minum pada masa yang berlainan, boleh menyebabkan tekanan. Wanita hamil yang berpuasa pada bulan Ramadan didapati mempunyai tahap hormon kortisol dalam darah mereka yang lebih tinggi berbanding wanita yang tidak berpuasa.
  • Terimalah bantuan jika diberikan. Walaupun keluarga dan rakan-rakan anda mungkin akan berjaga malam untuk beribadat, anda sendiri perlu menjalani Ramadan kali ini dengan tenang dan berehat sebanyak mungkin.
  • Mintalah nasihat daripada wanita lain dalam keluarga anda tentang bagaimana menjalani puasa semasa hamil.
  • Elakkan aktiviti yang membuatkan anda berasa panas kerana ini boleh menyebabkan anda teryahhidrat dengan cepat dan membahayakan bayi.
  • Rancang hari anda supaya anda boleh berehat secukupnya.
  • Elakkan berjalan jauh dan membawa barang-barang berat.
  • Kurangkan kerja rumah dan apa-apa aktiviti yang meletihkan.Tip-tip kesihatan semasa hamil dan berpuasa

Apakah cara terbaik untuk berbuka puasa?

Pastikan anda makan pelbagai makanan yang sihat dan minum banyak air apabila anda berbuka puasa dan semasa sahur. Makan makanan ringan yang sihat sebelum tidur, dan jika anda perlu, gunakan jam penggera anda jika anda perlu, supaya anda tidak terlepas sahur.
  • Pilih makanan yang membebaskan tenaga dengan perlahan. Karbohidrat kompleks, seperti yang didapati daripada bijirin penuh mil dan benih, dan makanan tinggi serat, seperti dal, sayur-sayuran dan buah-buahan kering, akan memberikan tenaga. Ini juga akan membantu untuk mengelakkan sembelit.
  • Elakkan makanan manis yang akan meningkatkan tahap gula dalam darah anda dengan cepat. Ia juga akan turun dengan cepat dan ini membuatkan anda berasa seperti hendak pitam dan pening.
  • Elakkan juga makanan yang tinggi lemak dan terlalu diproses. Buat pilihan yang lebih sihat seperti kentang atau kacang kuda.
  • Pastikan anda mendapat protin secukupnya daripada kekacang, daging dan telur yang dimasak sepenuhnya. Ini akan membantu bayi anda membesar dengan sihat.
  • Cuba minum kira-kira 1.5  hingga 2 liter air atau minuman lain dari masa berbuka puasa hingga sahur dan elakkan minuman berkafein seperti kopi dan teh. Kafein menyebabkan badan anda kehilangan lebih air semasa kencing, dan anda boleh ternyahhidrat dengan cepat terutamanya jika cuaca sangat panas.

Saya masih kurang pasti sama ada saya perlu berpuasa atau tidak. Apa yang perlu saya lakukan?

Berbincanglah dengan ahli keluarga, doktor atau ahli agama sebelum membuat keputusan. 

Timbangkan satu percubaan puasa selama sehari atau lebih, lihat bagaimana keadaan, dan kemudian kembali ke doktor untuk pemeriksaan.

0 comments:

Post a Comment

Supplement Hut. Powered by Blogger.