Showing posts with label Persoalan. Show all posts
Showing posts with label Persoalan. Show all posts

KERACUNAN MAKANAN


keracunan makanan

Apakah tanda dan gejala keracunan makanan?
  • Rasa loya
  • Cirit-birit
  • Muntah-muntah
  • Sakit perut
  • Berpeluh/demam
  • Sakit kepala
  • Keletihan


Apakah kesan (komplikasi) daripada keracunan makanan?

Keracunan makanan boleh mengakibatkan kecacatan seperti lumpuh atau sakit sendi-sendi yang berpanjangan (kronik). Ia juga boleh mengakibatkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal.


Apakah yang menyebabkan terjadinya keracunan makanan?


Antara sebab terjadinya keracunan makanan adalah :
  • Makanan ditinggalkan pada suhu bilik untuk tempoh yang lama (lebih dari 4jam).
  • Makanan tidak dimasak dengan sempurna.
  • Makanan tidak disimpan dengan baik (makanan yang mentah di disimpan bersama dengan makanan yang telah dimasak).
  • Makanan tidak dipanaskan dengan sempurna.
  • Daging dan ayam beku tidak dinyahbekukan dengan sempurna sebelum dimasak.
  • Amalan pengendalian makanan yang tidak bersih.
  • Makanan disediakan oleh orang sakit atau pembawa penyakit bawaan makanan.


Bagaimana untuk mengelakkan keracunan makanan?

Cara-cara untuk mengelakkan keracunan makanan :


Sentiasa menjaga kebersihan:
  • Basuh tangan dengan betul sebelum mengendalikan makanan
  • Basuh tangan selepas keluar dari tandas
  • Basuh dengan bersih permukaan dan peralatan yang digunakan untuk menyediakan makanan
  • Pastikan kawasan dapur bebas dari serangga , makhluk perosak dan haiwan-haiwan yang lain

Sentiasa pisahkan makanan mentah dari yang telah dimasak:
  • Asingkan daging ayam dan makanan laut yang mentah dari yang telah dimasak
  • Gunakan perkakas seperti pisau dan papan pemotong yang berbeza untukpenyediaan makanan yang belum dimasak
  • Simpan makanan yang telah dimasak dan yang mentah didalam bekas yang berbeza untuk mengelakkan dari pencemaran silang


Sentiasa masak dengan sempurna

  • Masak dengan sempuna, terutama sekali daging, ayam, telur dan makanan laut


Sentiasa simpan makanan pada suhu yang betul

  • Jangan tinggalkan makanan pada suhu bilik lebih dari 4 jam
  • Simpan semua makanan yang telah dimasak dan yang mudah basi didalam peti sejuk / peti sejuk beku


Sentiasa gunakan air dan bahan mentah yang bersih

  • Minum hanya air yang telah dimasak atau air minuman yang dibotolkan/berbungkus.
  • Pilih makanan yang segar dan berkhasiat
  • Basuh buah-buahan dan sayur-sayuran dengan sempurna jika dimakan mentah (ulam, salad)
  • Jangan makan makanan yang telah melepasi tarikh luput


Sentiasa pilih kedai makan yang bersih jika makan diluar

  • Hindari dari gerai/kedai makan yang kotor


Apa yang perlu saya lakukan jika mengalami keracunan makanan?

  • Segera ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan
  • Ikut nasihat doktor
  • Simpan makanan yang disyaki untuk siasatan oleh pegawai berkuasa
  • Pastikan tiada orang lain makan makanan tersebut
  • Maklumkan dengan segera Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.


credit : Kementerian Kesihatan Malaysia

Berpuasa Semasa Hamil


Adakah selamat untuk saya berpuasa semasa hamil?

Tiada jawapan yang pasti mengenai perkara ini. Walaupun beberapa kajian telah dibuat, kami masih tidak pasti jika berpuasa adalah selamat untuk anda dan bayi anda. 

Walau bagaimanapun, berpuasa semasa hamil nampaknya selamat untuk anda dan bayi jika anda rasa cukup sihat, dan kehamilan sedang berlangsung tanpa masalah.

Kebanyakan pakar-pakar agama berpendapat yang wanita hamil patut berpuasa jika kesihatan mereka mengizinkan. Mereka juga membenarkan wanita hamil untuk tidak berpuasa sekiranya bakal ibu rasa tidak sihat. Ramai bakal ibu wajib menggantikan puasa (qada’) tersebut setelah bayi dilahirkan. 

Bincang dengan doktor anda, dan minta pendapat guru agama atau mereka yang arif dengan hukum Islam untuk membantu anda membuat keputusan yang betul.

Apakah yang ditunjukkan oleh kajian-kajian mengenai puasa semasa hamil?

Ada kajian yang menunjukkan tiada atau sedikit sahaja kesan pada bayi baru lahir apabila ibu mereka berpuasa semasa hamil. Ada juga kajian yang mecadangkan bayi mungkin boleh menghadapi masalah kesihatan di kemudian hari, atau puasa semasa hamil mungkin menjejaskan kepintaran atau keupayaan akademik anak.

Berikut adalah pengetahuan kami dari kajian-kajian yang telah dilakukan:
  • Skor Apgar bayi wanita yang berpuasa semasa hamil adalah tidak berbeza dari bayi wanita yang tidak berpuasa.
  • Puasa semasa hamil mungkin boleh menyebabkan menpunyai berat lahir yang rendah, terutama jika puasa itu berlaku pada trimester pertama. Walau bagaimanapun, ada juga kajian lain yang menunjukkan perbezaan dalam berat badan itu adalah sangat kecil.
  • Bayi-bayi ibu yang puasa semasa hamil atau pada masa konsepsi mungkin membesar untuk menjadi sedikit lebih pendek atau lebih kurus. Sekali lagi, perbezaaan ini adalah sangat kecil.
  • Imbangan kimia dalam darah berubah bila anda berpuasa. Namun perubahan-perubahan tersebut nampaknya tidak membahayakan ibu dan bayi. 

Memang ada kebimbangan mengenai pertumbuhan bayi dalam kandungan semasa ibunya berpuasa, atau puasa itu dikaitkan dengan pelahiran pramatang. Ada kajian yang mencadangkan bayi akan dilahirkan awal sedikit jika ibunya berpuasa dalam bulan Ramadan, tetapi negara yang anda tinggal juga memainkan peranan.

Bagaimanakah saya boleh menangani puasa?

Wanita yang mempunyai berat badan dan cara hidup yang sihat akan menghadapi puasa dengan lebih baik. Bayi memerlukan nutrien daripada anda, dan jika badan anda mempunyai simpanan tenaga yang cukup, kesan puasa pada bayi anda mungkin berkurang.

Bagaimana badan anda menghadapi puasa juga bergantung kepada:
  • peringkat kehamilan;
  • kesihatan am anda sebelum hamil;
  • berapa lama anda berpuasa dalam sehari.

Bagaimana dengan wanita-wanita lain?

Menurut sesetengah kajian, tiga perempat wanita-wanita Islam yang hamil di seluruh dunia memilih untuk berpuasa di bulan Ramadan. Tetapi setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi puasa. 

Kebanyakan pemimpin Islam berkata yang wanita hamil patut berpuasa jika kesihatan mereka mengizinkan. Mereka juga membenarkan wanita hamil untuk tidak berpuasa sekiranya bakal ibu rasa tidak sihat. Jangan abaikan kebenaran khas ini jika anda rasa kurang sihat, atau anda takut puasa akan memudaratkan anda atau bayi anda.

Hanya anda boleh menilaikan bagaimana sihat anda rasa, dan apa keputusan yang tepat bagi anda. Bincanglah dengan keluarga anda, bidan atau doktor, dan ustaz atau ustazah, untuk membantu anda menimbangkan pilihan anda.

Bagaimanakah saya boleh bersedia untuk berpuasa?

Perancangan yang baik akan memudahkan anda berpuasa.
  • Bincanglah dengan doktor anda, yang boleh memeriksa kesihatan anda dan bagi apa-apa komplikasi yang mungkin anda terdedah kepada kerana puasa, seperti kencing manis semasa hamil (diabetis gestasi) dan anemia. Anda mungkin perlu diperiksa dengan lebih kerap untuk memantau tahap gula dalam darah anda. Puasa tidak selamat jika anda mempunyai kencing manis dan hamil.
  • Jika anda biasa minum banyak minuman berkafein seperti kopi, teh dan cola, kurangkan jumlah yang diminum sebelum mula berpuasa untuk mencegah sakit kepala akibat "withdrawal". Anda tidak harus minum lebih daripada 200mg minuman berkafein dalam sehari semasa hamil, iaitu kira-kira dua cawan kopi segera. Ingat bahawa coklat dan teh hijau juga mengandungi kafein.
  • Berbincanglah dengan majikan anda mengenai tugasan anda semasa Ramadan, samada mengurangkan waktu kerja anda atau memberikan anda lebih masa untuk rehat semasa waktu bekerja.
  • Doktor, bidan atau pakar diet anda boleh menolong anda memantau keperluan diet anda.
  • Simpan dairi makanan, supaya anda tahu apa yang anda makan dan minum.
  • Persediaan awal seperti membereskan urusan beli-belah dan tugasan tertentu boleh dilakukan sebelum berpuasa.

Apakah tanda-tanda bahaya yang perlu saya ketahui?

Hubungi doktor anda secepat mungkin jika:
  • Berat badan anda tidak bertambah atau berat badan anda berkurangan. Anda mungkin akan ditimbang apabila menghadiri temujanji pranatal anda, tetapi anda mungkin juga ingin mengesan berat badan dengan menimbang diri sendiri di rumah.
  • Anda berasa sangat dahaga atau air kencing anda berwarna gelap dan berbau kuat. Ini adalah tanda-tanda penyahhidratan, yang boleh menyebabkan anda lebih terdedah kepada jangkitan saluran kencing atau jangkitan lain.
  • Anda pening kepala atau rasa sakit, atau demam.
  • Anda loya atau mula muntah.


Juga hubungi doktor dengan serta-merta jika:
  • Terdapat perubahan ketara pada pergerakan bayi anda seperti jika bayi anda tidak bergerak atau kurang menendang.
  • Anda mengalami kesakitan seakan-akan sakin bersalin. Ini mungkin tanda kelahiran pramatang dan anda perlu hubungi doktor anda dengan segera.
  • Anda rasa pening, pitam, lemah, keliru atau letih, walaupun anda telah berehat yang baik. Buka puasa dengan segera dan minum air yang mengandungi garam dan gula, atau satu jenis ubat rehidrasi oral seperti Dioralyte, dan hubungi doktor.

Bagaimana cara untuk memudahkan saya berpuasa semasa hamil?

  • Sentiasa bertenang dan elakkan stres. Perubahan dalam rutin anda, kekurangan makanan dan air, dan makan dan minum pada masa yang berlainan, boleh menyebabkan tekanan. Wanita hamil yang berpuasa pada bulan Ramadan didapati mempunyai tahap hormon kortisol dalam darah mereka yang lebih tinggi berbanding wanita yang tidak berpuasa.
  • Terimalah bantuan jika diberikan. Walaupun keluarga dan rakan-rakan anda mungkin akan berjaga malam untuk beribadat, anda sendiri perlu menjalani Ramadan kali ini dengan tenang dan berehat sebanyak mungkin.
  • Mintalah nasihat daripada wanita lain dalam keluarga anda tentang bagaimana menjalani puasa semasa hamil.
  • Elakkan aktiviti yang membuatkan anda berasa panas kerana ini boleh menyebabkan anda teryahhidrat dengan cepat dan membahayakan bayi.
  • Rancang hari anda supaya anda boleh berehat secukupnya.
  • Elakkan berjalan jauh dan membawa barang-barang berat.
  • Kurangkan kerja rumah dan apa-apa aktiviti yang meletihkan.Tip-tip kesihatan semasa hamil dan berpuasa

Apakah cara terbaik untuk berbuka puasa?

Pastikan anda makan pelbagai makanan yang sihat dan minum banyak air apabila anda berbuka puasa dan semasa sahur. Makan makanan ringan yang sihat sebelum tidur, dan jika anda perlu, gunakan jam penggera anda jika anda perlu, supaya anda tidak terlepas sahur.
  • Pilih makanan yang membebaskan tenaga dengan perlahan. Karbohidrat kompleks, seperti yang didapati daripada bijirin penuh mil dan benih, dan makanan tinggi serat, seperti dal, sayur-sayuran dan buah-buahan kering, akan memberikan tenaga. Ini juga akan membantu untuk mengelakkan sembelit.
  • Elakkan makanan manis yang akan meningkatkan tahap gula dalam darah anda dengan cepat. Ia juga akan turun dengan cepat dan ini membuatkan anda berasa seperti hendak pitam dan pening.
  • Elakkan juga makanan yang tinggi lemak dan terlalu diproses. Buat pilihan yang lebih sihat seperti kentang atau kacang kuda.
  • Pastikan anda mendapat protin secukupnya daripada kekacang, daging dan telur yang dimasak sepenuhnya. Ini akan membantu bayi anda membesar dengan sihat.
  • Cuba minum kira-kira 1.5  hingga 2 liter air atau minuman lain dari masa berbuka puasa hingga sahur dan elakkan minuman berkafein seperti kopi dan teh. Kafein menyebabkan badan anda kehilangan lebih air semasa kencing, dan anda boleh ternyahhidrat dengan cepat terutamanya jika cuaca sangat panas.

Saya masih kurang pasti sama ada saya perlu berpuasa atau tidak. Apa yang perlu saya lakukan?

Berbincanglah dengan ahli keluarga, doktor atau ahli agama sebelum membuat keputusan. 

Timbangkan satu percubaan puasa selama sehari atau lebih, lihat bagaimana keadaan, dan kemudian kembali ke doktor untuk pemeriksaan.

KENCING MANIS??

Kesan kencing manis anda lebih awal

Tanda-tanda kencing manis

☛ Anda sering dahaga dan sering perlu minum air.
☛ Anda sering ketandas.
☛ Anda terasa badan lemah.
☛ Berat badan anda turun dengan cepat
☛ Penglihatan anda semakin kabur.
☛ Anda terasa pening kepala.

Kadang-kala pengidap kencing manis tidak menunjukkan sebarang tanda. Hanya dengan pemeriksaan doktor dapat menunjukkan dan mengesan kencing manis pada peringkat awal. Bagi mereka yang berisiko tinggi, mereka perlu menjalani pemeriksaan untuk mengesan kencing manis sekali setiap tahun.

Golongan Berisiko Tinggi

☛ Mereka yang mempunyai keturunan yang mengidap Kencing Manis (Ibu bapa, adik-beradik)
☛ Mereka yang berat badan agak tinggi
☛ Mereka yang pernah mempunyai radang pada Pancreas
☛ Wanita mengandung yang pernah menghadapi kencing manis ketika hamil.
☛ Bagaimanapun penyakit kencing manis mampu menyerang sesiapa juga pada semua peringkat umur sekiranya permakanan dan minuman tidak dijaga.

Mengesan Kencing Manis

Kencing Manis dapat dikesan dengan ujian air kencing atau ujian darah. Ujian darah amat mudah digunakan dan dapat mengukur kadar gula dalam darah dengan tempoh beberapa minit sahaja. Selain itu terdapat ujian daya tahan glukos dimana pesakit akan disureh meminum minuman bergula dan mereka diuji untuk memastikan peningkatan kadar glukos. Selain itu ujian puasa glukos di mana mereka yang diuji akan dilarang makan atau minum semalaman sebelum mereka diuji untuk menentukan kadar glukos mereka.

Kongsi pengalaman anda, semoga ia memberi manafaat.

TEKNIK TEPUK BANTU MASALAH BAYI BERKAHAK

[SOALAN]

Salam sejahtera anak sy baru sja berusia 26 hari,anak sy berkahak,hidung sumbat pasal kahak tu..apa ptt sy bt? Nie anak 1st sy..hide nama sy..tq.




BATUK dan selesema adalah dua masalah yang boleh dikatakan pasti berlaku pada setiap bayi. Tidak kira musim sejuk atau panas, simptom tersebut boleh menjadi kronik kepada kesihatan bayi kerana kesukaran mereka untuk mengeluarkan kahak dan hingus boleh menjadi punca penyakit seperti bronkitis atau brochospasm.


Saat masalah tersebut berlaku pada bayi, pasti ibu bapa akan berasa gusar kerana bayi belum mempunyai kepandaian untuk mengeluarkan kahak mahupun menghembus hingus mereka sendiri.

Sebab itulah ada ibu atau bapa yang prihatin sanggup menyedut hingus pada hidung bayi mereka kerana khuatir keadaan tersebut akan membuatkan bayi tidak selesa untuk bernafas.

Syabas kepada ibu bapa yang sanggup melakukan yang terbaik demi kesihatan anak mereka, tapi alangkah lebih bagusnya jika mereka mengetahui tentang teknik fisioterapi yang terbukti boleh memberikan bayi lebih kelegaan daripada masalah batuk dan selesema yang dihadapi.

Pakar Fisioterapi dari Pusat Perubatan Pakar Alpha, Siti Farah Aini Jamaludin berkata, bayi di bawah usia dua tahun memang kerap mengalami bronchospasm iaitu bengkak dan pengecutan dalam paru-paru.

"Simptom penyakit ini seperti batuk, demam, selesema dan sesak nafas. Penyakit ini boleh juga dialami oleh orang dewasa tapi lebih bermasalah jika ia menyerang bayi kerana mereka tidak berupaya mengeluarkan kahak sendiri," ujarnya ketika ditemui di klinik fisioterapinya di Pusat Perubatan Pakar Alpha, Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.


Pengalaman

Berdasar pengalamannya selama lebih tujuh tahun melakukan fisioterapi di pusat-pusat perubatan sebelum ini, kanak-kanak di bawah usia lima tahun sering berhadapan dengan masalah bronkitis ataubronkospasm.


"Ibu bapa biasanya akan merujuk anak mereka ke hospital apabila mendapati anak mereka menghadapi masalah pernafasan seperti hidung tersumbat, pernafasan berbunyi serta simptom seakan penyakit asma.

"Sebenarnya jika ibu atau bapa mempunyai sedikit ilmu fisioterapi, mereka boleh mempraktikkan kepada bayi mereka agar tidak mudah berlaku jangkitan lain terhadap bayi.

"Sebagai contoh, jika bayi mengalami hidung tersumbat dan batuk berkahak dan di rumah memang tidak mempunyai mesin sedut hingus, ibu bapa boleh mencuba teknik tepukan yang dinamakanpercussion ke atas bayi mereka.

"Caranya mudah, pastikan bayi dalam posisi meniarap dan letakkan bantal di bawah perut, pastikan bantal itu tidak terlalu tebal. Kemudian condongkan sedikit posisi bantal dengan kedudukan kepala bayi ke bawah dan kaki di atas, pastikan kaki lurus.

"Ibu atau bapa pula bentukkan tapak tangan seakan cupping (lubang di tengah) dan gunakan kekuatan dari pergelangan tangan untuk menepuk perlahan di belakang bayi.

"Tepuk selama lebih kurang 15 minit dan beralih di kiri dan kanan tubuh bayi pula. Tujuan menepuk ini adalah untuk melonggarkan kahak di dalam paru-paru dan 15 minit selepas selesai menepuk, biasanya bayi akan batuk atau bersin dan sekali gus mengeluarkan kahak dalam bentuk muntah. Jika tertelan, tidak mengapa kerana kahak tersebut akan keluar menerusi najis mereka," jelas Siti Farah.

Siti Farah mengingatkan ibu bapa, sebelum memulakan teknik tepukan percussion ini, pastikan anak tidak minum susu sejam atau setengah jam sebelum bagi mengelakkan muntah.

Siti Farah berkata, bayi yang kesnya dirujuk ke fisioterapi oleh doktor, biasanya akan melalui fisioterapi pada bahagian dada.

"Ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor pula untuk melambatkan bakteria, manakala nebulizer adalah untuk membuka saluran pernafasan bayi yang sempit.

"Kombinasi tiga elemen iaitu ubat, nebulizer dan fisioterapi merupakan kaedah yang lazim dilakukan di hospital ke atas bayi yang menghadapi masalah tersebut," katanya.

Menurut Siti Farah lagi, apabila bayi diserahkan kepada ahli fisioterapi mereka akan dibedung dan teknik tepukan untuk melonggarkan kahak akan dibuat.

Selepas tepukan, mesin penyedut kahak akan digunakan bagi membantu bayi mengeluarkan kahak dan hingus mereka.

"Saya memang faham perasaan ibu yang menangis dan tidak sanggup melihat bayi mereka melalui prosedur tersebut. Tetapi ibu atau bapa perlu tahu, proses tersebut tidak menyakitkan ia cuma tidak selesa pada bayi dan kita sukar untuk mententeramkan bayi.

"Adakalanya juga ketika proses menyedut kahak dan hingus akan keluar bersama sedikit darah, ibu bapa jangan panik. Mereka perlu faham keadaan tersebut berlaku kerana saluran pernafasan anak terlalu sempit dan masih lembut.

"Apabila anak meronta, ia hanya akan menyebabkan kesukaran kepada bayi itu sendiri juga mendatangkan kerisauan kepada si ibu yang melihatnya," ujar Siti Farah.

Sumber: Utusan Malaysia
Supplement Hut. Powered by Blogger.